Saturday 31 July 2010

Pelancaran Bernama Kid's 1Malaysia Club


BK1MC dicadangkan sebagai satu bentuk pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bernama dengan memberi keutamaan penyertaan kepada anggota keluarga, khasnya anak kakitangan Bernama berumur  4 hingga  17 tahun.

             InfoLib berperanan utama sebagai penyelaras dan pelaksana projek ini dengan dokongan dan sokongan penuh semua bahagian dan unit lain di Bernama iaitu Bessar, Bernama TV dan  Radio24, Benita dan KKB, yang menganggotai Jawatankuasa induk, bertanggungjawab  menyediakan pelbagai bahan bagi aktiviti yang dirancang dan menyelaraskan pelaksanaannya. Selain itu, jawatankuasa juga boleh berusaha mendapatkan sumbangan berupa bahan tajaan makan minum dan hadiah bagi pertandingan daripada para penaja untuk memeriah dan  menjayakan program CSR ini.

Objektif  BK1MC ialah untuk mendekatkan anggota keluarga setiap petugas Bernama dengan agensi berita ini melalui aktiviti-aktiviti kelab ini, yang berteraskan pendidikan, kenali dan cintai Bernama serta kasih sayang sesama insan; memupuk minat membaca, menimba ilmu, membantu kecemerlangan pembelajaran, mengasah bakat dan minat terhadap penulisan dan fotografi serta memupuk kecintaan terhadap alam sekitar.


Bermula 8.30 pagi pada 31 Julai 2010, seramai 237 orang termasuk 69 ibu bapa, 93 ahli BK1MC, 25 tetamu jemputan, 18 cikgu serata pelajar sekolah SM Pendidikan Khas dan 32 yang bertugas telah memeriahkan majlis pelancaran tersebut. Ianya dimulakan dengan kata-kata aluan oleh Ketua Pengarang merangkap Penasihat Kelab dan seterusnya ucapan Perasmian oleh Pengurus Besar merangkap Penaung Kelab.

Majlis diikuti dengan Persembahan Perkasion yang begitu menarik oleh SM Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Jalan Genting Kelang, Setapak. Mulai jam 10.30 pagi pelbagai aktiviti dimulakan dengan meriah di samping jualan buku dan nyanyian oleh murid sekolah. 

Sebanyak 172 buku dipinjam dari mini InfoLib bergerak pada hari tersebut. Aktiviti membaca bagi ibu bapa dan kanak-kanak berjalan sepanjang majlis. Bagi projek ini, InfoLib akan juga membuka pintunya kepada kunjungan anak dan keluarga petugas Bernama untuk mengenali BLIS, membaca buku atau membuat rujukan di sudut BK1MC di Tingkat 8, InfoLib.


InfoLib telah meminjam buku kanak-kanak melalui pinjaman buku berkelompok dari Perpustakaan Negara Malaysia dan membuat pembelian. Pinjaman buku seterusnya boleh dilakukan bagi mereka yang telah menjadi ahli BK1MC yang kini mencecah seramai 192 orang. Sesi fotografi juga dijalankan bagi penyediaan kad keahlian BK1MC. 

Laman kreatif dihias dan pelbagai aktiviti diadakan seperti mewarna dan bercerita. Satu sudut permainan bagi kanak-kanak yang kurang dari empat tahun disediakan. Ibaratnya Tingkat 13 telah bertukar menjadi mini Kids Wonderland. Pertama kali aktiviti yang  mengumpulkan anak warga Bernama dijalankan di Bernama.



Majlis penyampaian hadiah diadakan pada jam 2.00 petang selepas jamuan makantengahari. Pelbagai hadiah diterima selain doorgift untuk ahli kelab. Majlis dimeriahkan dengan sumbangan doorgift dan hadiah dari Karangkraf iaitu majalah serta buku nota, Aifa Health Product, Simon Souvenir, Ducthlady - produk tenusu, Syarikat TLC iaitu kotak sabun mandi, Light House, Encik Zainal (BTV), KKB dan Benita. 



Jutaan terima kasih dari pihak InfoLib kerana kerjasama yang julung kali diadakan dengan Jabatan/Bahagian lain yang telah memeriahkan lagi suasana. Terima kasih kepada pihakpengurusan kerana memberi sokongan. Semoga ahli BK1MC bertambah dan pelbagai aktiviti terus dianjurkan.